Islamic Widget

Pages

Khamis, 3 Disember 2015


DERITA


Lirik Lagu Okid - Derita

Buka Mata dan Lihatlah
Insan Kecil Yang Tak Berdosa
Jadi Mainan dan Hinaan Semua
Manusia Tiada Berpedoman...

Apakah Salah Mereka
Menjadi Mangsa Yang Terbiar
Dia Disiksa Tanpa Rasa Simpati
Hanya Melihat Darah Merah Mengalir ke Bumi...

Bridge:
Sengsara Kan Terasa
Di Sepanjang Hayatnya
Tangisan Tak Bersuara
Insan Yang Sekecil Itu
Merasa Peritnya Derita
Ditanggung Jua...

( Korus )
Mengapa Dia Disiksa
Hingga Lesu Tak Bermaya
Haruskah Kita Menyaksikan
Penderitaan Pada Mereka..
Apa Nasib Mereka Jika ini Masih Terjadi
Kita Sama-sama Membantu
Melindungi Hidup Mereka..

Mereka Perlukan Perhatian
Bukan Penyiksaan Yang Diminta
Berikan Kasih dan Belaian Mesramu
Moga Diberi Petunjuk dan Hidayah Yang Sejati..

Jumaat, 27 November 2015

السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته


MEMAHAMI HAK ASASI MANUSIA

Sering kali kita mendengar masyarakat sekeliling kita memperkatakan mengenai HAK ASASI MANUSIA melalui media massa mahu pun media sosial. Pelbagai isu yang dikaitkan dengan hak asasi, tapi adakah kita memahami secara menyeluruh apa yang di katakan hak asasi manusia. Jadi di sini saya ingin kongsi bersama kupasan mengenai pemahaman hak asasi manusia yang di petik dari Utusan Online.

HAK asasi manusia adalah sesuatu yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan. Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.

Namun hak asasi seperti kebebasan menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.

Hak kemanusiaan kadangkala dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.

Justeru, hak-hak yang digariskan oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.

Namun apabila disebut tentang hak asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara hidup orang Barat dijadikan penimbang tara mengenai jenis hak asasi manusia yang harus diguna pakai.

Negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak bermaksud untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.
Kemajuan ilmu pengetahuan serta kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.

Walaubagaimanapun, para remaja harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan neoliberalisme yang sifatnya anarki.

Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.

Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik dan hedonisitik.

Hak Asasi Adalah Fitrah

Islam menghubungkan hak asasi dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.

Kerana itulah Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.

Justeru, apabila ada pihak ingin menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia.

Setiap agama di Malaysia tidak mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan fitrah. Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan budaya songsang ini.

Ibrah yang diperolehi daripada kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.

Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.

Remaja harus peka bahawa antara agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama.

Islam dengan strategi Islamophobia Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.

Mereka tahu bahawa kekuatan tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.

Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.

Hak Asasi Islami

Hak asasi dalam Islam mengambil pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang manusia lakukan. Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.

Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.

Terdapat aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.

Kebebasan bersuara, berfikir, melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.

Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.
Secara dasarnya, hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.

Pertamanya, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan manusia dengan Allah.

Kedua, kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui batas.

Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi. Ia menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.

Para remaja mesti menyedari bahwa akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan beretika.

Keempat, hak menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kelimanya adalah mengenai keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia.
Faktor syarak dalam pertimbangan tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.

Misalnya, perintah Allah supaya jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang baik.
Tuntutan keenam pula adalah menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri. Islam dan orang Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.

Jika keindahan dan kesyumulan agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan perbuatan, maruah Islam akan tercalar.

Justeru, menjaga maruah Islam adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu, pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan.

ARKIB : 24/11/2011
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
Utusan Online