السلا م عليكم ورحمة
الله وبركاته
MEMAHAMI HAK ASASI MANUSIA
Sering kali kita mendengar masyarakat sekeliling kita memperkatakan
mengenai HAK ASASI MANUSIA melalui media massa mahu pun media sosial. Pelbagai
isu yang dikaitkan dengan hak asasi, tapi adakah kita memahami secara
menyeluruh apa yang di katakan hak asasi manusia. Jadi di sini saya ingin
kongsi bersama kupasan mengenai pemahaman hak asasi manusia yang di petik dari
Utusan Online.
HAK asasi manusia adalah sesuatu
yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan.
Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.
Namun hak asasi seperti kebebasan
menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak
untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat
misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.
Hak kemanusiaan kadangkala
dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian
besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.
Justeru, hak-hak yang digariskan
oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu
ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.
Namun apabila disebut tentang hak
asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara
hidup orang Barat dijadikan penimbang tara mengenai jenis hak asasi manusia
yang harus diguna pakai.
Negara seperti Malaysia tidak sama
dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak
mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus
menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita
sendiri.
Acuan kita sendiri tidak bermaksud
untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang
memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak
asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.
Kemajuan ilmu pengetahuan serta
kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai
faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.
Walaubagaimanapun, para remaja
harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan
neoliberalisme yang sifatnya anarki.
Krisis genetik yang mereka alami,
penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian,
kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria
penting dalam menentukan hak asasi manusia.
Mereka tidak lagi dipandu oleh
etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak
asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik
dan hedonisitik.
Hak Asasi
Adalah Fitrah
Islam menghubungkan hak asasi
dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya
berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.
Kerana itulah Islam meletakkan
kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan
manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa
menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.
Justeru, apabila ada pihak ingin
menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu
kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti
Malaysia.
Setiap agama di Malaysia tidak
mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang
bertentangan dengan fitrah. Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat
terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan
budaya songsang ini.
Ibrah yang diperolehi daripada
kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran
memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat
kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.
Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan
akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di
Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang
belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.
Remaja harus peka bahawa antara
agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan
neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke
arah pembebasan diri dari ikatan agama.
Islam dengan strategi Islamophobia
Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu
Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada
tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.
Mereka tahu bahawa kekuatan
tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika
dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.
Kebangkitan kesedaran Islam di
Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan
potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.
Hak Asasi
Islami
Hak asasi dalam Islam mengambil
pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang
manusia lakukan. Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham
liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika
sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.
Pendekatan integratif dalam proses
pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal
dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.
Terdapat aspek positif dalam
binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan
iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.
Kebebasan bersuara, berfikir,
melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara
beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.
Menghormati perbezaan anutan agama
dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu
yang menepati maksud hak asasi manusia.
Secara dasarnya, hak asasi yang
Islami atas asas maqasid
syariah (maksud hukum syarak)
mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada
pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.
Pertamanya, pentingnya hak asasi
yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak
asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan
dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan
manusia dengan Allah.
Kedua, kepentingan nyawa manusia
yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur
atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang
dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui
batas.
Ketiga, pentingnya dipelihara akal
supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal
itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi. Ia
menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam
pemikiran dan juga amalan.
Para remaja mesti menyedari bahwa
akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan
tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta
perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya
kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan
beretika.
Keempat, hak menjaga harta kerana
ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi
tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan
membawa kesejahteraan kepada umat manusia.
Kelimanya adalah mengenai
keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan
memberi manfaat kepada umat manusia.
Faktor syarak dalam pertimbangan
tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama
manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan
perkembangan keturunan menjadi rosak.
Misalnya, perintah Allah supaya
jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang
baik.
Tuntutan keenam pula adalah
menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami
memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri. Islam dan orang
Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.
Jika keindahan dan kesyumulan
agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan
perbuatan, maruah Islam akan tercalar.
Justeru, menjaga maruah Islam
adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu,
pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan
faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan.
ARKIB : 24/11/2011
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
Utusan Online
5 ulasan:
Jika kita umat muhamad s.a.w berpegang kepada ajarannya insyallah dunia aqirat kita selamat.
Mohamad Solehhuddin b.Shuid-GB02397
Artikel yang menarik. Masih ramai yang kurang arif tentang hak-hak asasi orang lain. Lihatlah
sekeliling kita pasti mudah berjumpa keadaan yang mengabaikan hak asasi orang lain. Saya ambil hanya satu contoh sahaja. Sebagai contoh , ada individu yang merokok lalu tidak menghiraukan asap rokok yang mungkin boleh terkena atau terhidu kepada orang sekeliling yang bukan perokok.Lagi menjengkelkan apabila pihak berkuatkuasa yang berkenaan pun turut terdapat dianggotai oleh perokok. Jadi dimanakah keprihatinan hak asasi mereka itu?
GB02367 Ahmad Zailan Osman
Satu perkongsian yang sangat menarik..syabas diucapkan kpd penulis..itulah unik dan syumulnya agama Islam..Islam mencakupi smua prkra dalam khidupan manusia termasuk hak asasi manusia..sbgai sbuah ngra islam dan umat islam..kita harus melihat hak asasi manusia mengikut kaca mata islam dgn tdak mencedon sewenang wenangnya hak asasi barat yang kdng kala terkeluar dri landasan syariat islam..deklarasi hak asasi manusia yang telah diwujudkan perlu la diselaraskan dengan maqasid syariah dalam islam sbagai pertimbangan..jika tidak dikhuatri dalam mempertahankan hak asasi kita terkeluar dari landasan syariat islam..islam telah lama dulu mempertahankan hak haka manusia...seperti hak wanita semasa zaman jahiliah..hak tidak membezakan bngsa ataupun warna kulit dan sebagainya..ini memunjukkan islam memandanv berat terhadap hak asasi manusia selagi ia tidak bertentangan dgn syariat islam..وااله أعلم
Mohd Nazrull bin Ahmad (GB02376)
Satu perkongsian yang sangat menarik..syabas diucapkan kpd penulis..itulah unik dan syumulnya agama Islam..Islam mencakupi smua prkra dalam khidupan manusia termasuk hak asasi manusia..sbgai sbuah ngra islam dan umat islam..kita harus melihat hak asasi manusia mengikut kaca mata islam dgn tdak mencedon sewenang wenangnya hak asasi barat yang kdng kala terkeluar dri landasan syariat islam..deklarasi hak asasi manusia yang telah diwujudkan perlu la diselaraskan dengan maqasid syariah dalam islam sbagai pertimbangan..jika tidak dikhuatri dalam mempertahankan hak asasi kita terkeluar dari landasan syariat islam..islam telah lama dulu mempertahankan hak haka manusia...seperti hak wanita semasa zaman jahiliah..hak tidak membezakan bngsa ataupun warna kulit dan sebagainya..ini memunjukkan islam memandanv berat terhadap hak asasi manusia selagi ia tidak bertentangan dgn syariat islam..وااله أعلم
Mohd Nazrull bin Ahmad (GB02376)
salam.. satu perkongsian ilmu yang bagus, bagi saya semua orang mempunyai hak kemanusian termasuklah hak keamanan, kestabilan politik, agama, bangsa dan Negara serta ianya mestilah seiring dengan syariat Islam.sesebuah Negara akan aman dan teratur jika pengurusan pentadbiran dan kepimpinan pemimpinnya berlandaskan ajaran agama yang benar kerana setiap keputusan terletak pada pemimpin Negara, jika pemimpin salah membuat keputusan maka teraniaya lah masyarakat di bawah pentadbirannya,maka pemimpin perlu meminta pertolongan dari Allah s.w.t. segalanya adalah ketentuan Allah..Itulah hak asasi kemanusian yang perlu diutamakan..wallahua'lam
GB02383 SITI HALIJAH BINTI HASIM
Catat Ulasan